Kalabakan Desak Jawapan: Status PPR Tawau & Isu Unit Kosong

DATUK ANDI MUHAMMAD SURYADY BIN BANDY

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan status terkini pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di tapak Lapangan Terbang Lama Tawau.

Beliau turut menuntut langkah strategik kerajaan dalam menangani isu unit PPR yang tidak didiami serta mekanisme pengoptimuman semula penggunaan unit sedia ada bagi memastikan keberkesanan kepada golongan sasar.

Sabah Negeri Paling Banyak PPR

Jawapan rasmi KPKT di Parlimen mendedahkan bahawa Sabah mencatat jumlah projek PPR terbesar di Malaysia, dengan 39 projek diluluskan setakat ini.

1,700 Unit Akan Diisi Tahun Ini

Kementerian menyasarkan 1,700 unit kosong akan mula diisi tahun ini selepas proses baik pulih selesai. Langkah ini diharap dapat mengurangkan senarai menunggu rakyat yang memerlukan kediaman.

Permohonan Lebih Mudah dan Telus

Orang ramai kini boleh memohon secara lebih mudah melalui Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN) secara dalam talian, yang menjanjikan proses lebih telus dan efisien.

Unit Kosong Dimanfaatkan

Sebahagian unit kosong sedang diselenggara atau disimpan sebagai penempatan sementara untuk kes kecemasan. Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan tiada unit terbazir dan semuanya dimanfaatkan sepenuhnya untuk golongan sasar.

KPKT turut menekankan kerjasama berterusan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi mengenal pasti tapak strategik untuk pembangunan masa depan, khususnya di Kalabakan dan seluruh Sabah.(*)

 

Pos terkait