KALABAKAN– Ahli Parlimen P.191 Kalabakan, YB Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, mengecam keras kenyataan Senator Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan Filipina terhadap Sabah dihidupkan semula. Beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai provokasi yang mencabar kedaulatan Malaysia dan menghina sensitiviti rakyat Sabah.
“Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia yang sah, berdaulat dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Perkara ini telah dimuktamadkan melalui sejarah, perundangan dan kehendak rakyat sendiri. Cubaan mengungkit tuntutan lama yang ditolak dunia adalah tindakan tidak berasas dan hanya menimbulkan ketegangan serantau,” tegasnya.
Datuk Andi menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak akan berdiam diri apabila kedaulatan negeri dipersoalkan. Menurutnya, Sabah bukan wilayah yang boleh dituntut sesuka hati, bukan bahan propaganda politik, dan bukan alat untuk menutup kelemahan dalaman negara lain.
Beliau turut membidas naratif yang cuba mengaitkan tuntutan tersebut dengan sumber minyak dan kekayaan semula jadi Sabah. “Kekayaan Sabah adalah milik rakyat Sabah dalam kerangka Persekutuan Malaysia. Kedaulatan negeri ini tidak boleh dipersoalkan walau dengan apa alasan sekalipun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengambil pendirian lebih tegas dan tidak berkompromi dalam mempertahankan kedaulatan negara. Bantahan diplomatik yang jelas perlu disampaikan supaya tiada pihak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang menyentuh Sabah.
Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu mempertahankan maruah wilayah ini. “Kita tidak akan tunduk kepada tekanan luar, tidak gentar dengan provokasi, dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mempertikaikan hak serta kedaulatan Sabah,” ujarnya.
Sebagai Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi menegaskan pendiriannya untuk berdiri teguh bersama rakyat Sabah. “Sabah adalah milik Malaysia, dan perkara ini tidak akan berubah hari ini, esok, dan selama-lamanya,” katanya menutup kenyataan.(*/rls)






